Sunday

DONT BE SAD

Ya-Rabbul Ariffin
Tuhanku,Seandainya telah kau takdirkan dia milikku.. tercipta buatku
Dekatkan lah hatinya dengan hatiku
Tetapkan lah kemesraan antara kami
Agar kebahagiaan ini kekal abadi 

Ya Muhaimin
Dan Tuhanku
Seiringkan lah kami mengharungi hidup luas ini
Ke tepian yang sejahtera 

Ya Rabbul Fatihin
Tetapi Tuhanku yang Maha Pengasih
Seandainya telah kau takdirkan dia bukan milikku
Bawalah dia jauh dari pandangan ku
Luput dari ingatan ku
Dan peliharalah aku dari kecewa

Ya Rabbul Izzati
Serta Tuhanku yang Maha Mengerti
Berilah aku kekuatan melontar bayangannya ke dada langit
Hilang bersama senja nan merah
Dan gelap pekat awan
Agar aku bisa bahagia
Walaupun tanpa dirinya

Ya Rabbul Quddus

Dan Tuhanku
Biar sekuat mana aku menyintainya
Aku pohon agar Tuhanku
Melenyapkan perasaan ini
Sekiranya dia ditakdirkan bukan milikku

Ya Rahman Ya Rahim

Tapi sekiranya dia ditakdirkan untukku
Kupohan agar takdir memperkuatkan kasihku padanya
Selagi tidak melebihi kasihku padaMU

Amin.

Friday

Untuk Dia (Sang Mantan)


Posted by PDH | March - 21 - 2012 | 0 Comment Jom Share!266Number of View :2588

KONGSIKAN!
Assalamualaikum..
Kehadapan sang mantan yang berada di mana jua, moga kehidupanmu diredhai Allah. Aku masih di sini. Seperti biasa. Melewati masa-masa kehidupan dengan hati yang penuh tabah
Pertama kali, aku ucapkan terima kasih kepadamu kerana kau telah meninggalkan aku. Terima kasih. Kau telah menyedarkan aku tentang dosa-dosa silamku. Kau telah mengingatkan aku betapa dosanya kita dulu, dipenuhi maksiat malah meninggalkan perintah Allah.
Sang Mantan,
Pada mulanya, aku menyesal dengan keputusanmu. Meninggalkan aku ketika hati masih sayang. Sungguh aku menyesal. Tapi cuba kita berfikir sejenak, selama kita bercinta, apa perintah Allah yang telah kita kerjakan bersama? Yang wajib? Tidak ada. Yang sunat, lagilah tiada.
Pernah tak setiap kali kita keluar bersama, kita berhenti di mana-mana surau berdekatan untuk mengerjakan solat? Pernah tak? Pernah tak kita mengelak dari berpegangan tangan di khalayak ramai walaupun pada bulan Ramadhan? Pernah tak?
Pernah tak kita berasa malu, ketika kau memegang pinggang dan bahu ku ketika bersiar-siar di shopping complex? Pernah tak kita berasa malu memasuki pusat karaoke berdua? Pernah tak?
Semua tu terjah di fikiranku selepas kau membuat keputusan meninggalkan aku. Pada mulanya, aku nekad untuk kembali meraih cintamu. Aku cuba. Aku usaha. Tapi untuk apa? Jika kita bersama kembali, mungkinkah terjamin kita tidak akan melakukan perkara yang sama seperti dahulu?
Sang Mantan,
Aku tidak menyalahkan kamu sepenuhnya. Aku menyalahkan diri sendiri kerana tidak mempunyai iman yang kuat, tidak mengalih pandangan terhadap kaum Adam, tidak menolak lamaran cintamu dulu. Aku lupa betapa tingginya darjah seorang wanita. Aku lupa betapa tingginya malu yang perlu ada dalam diri seorang wanita. Aku leka. Aku lalai.
 Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
           “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku melihat kebanyakan penduduknya  adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah wanita.” (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas dan Imran serta selain kedua-duanya)
 Seorang pujangga mengatakan, “hidupnya wajah berkat malu, sebagaimana tanaman berkat air”
Sang Mantan,
Betapa banyaknya dosa yang telah kita lakukan sepanjang kita bersama. Dosa yang ada sebelum kita bercinta pun susah hendak ku tanggung, ditambah dosa selepas aku mengenal erti cinta. Terlalu banyak, tidak mampu untuk dikira. Ya Allah..
Kau masih tidak sedar akan semuanya itu. Kau sedang leka bersama cinta hatimu. Aku bersyukur seandainya pilihan barumu tidak seperti aku, aku bersyukur.Semoga dia membimbingmu ke jalan yang benar. Aku berdoa.
Cinta tidak buta seperti yang diperkatakan orang lain. Cinta yang menyebabkan kita buta. Kita yang buta selepas tenggelam di dasar lautan cinta yang paling dalam. Kita. Bukan salah mereka.
Oleh itu sang Mantan..
Bertaubatlah. Kembali pada Allah. Masih belum terlambat sebenarnya. Sedarlah akan dosa-dosa silammu sementara jantungmu masih berdegup, sementara nafasmu belum terhenti. Kembalilah bersama Allah. Jangan sesekali leka sekali lagi dengan dunia cinta.
Jika kamu terlalu menyayangi cinta barumu itu, bimbinglah dia bersama-sama untuk kembali menjalankan perintah Allah. Lamarlah dia sebagai isterimu. Jangan berikan harapan palsu sebagaimana kau pernah berikan padaku dulu. Jadikan dia sebagai yang halal untukmu. Aku berdoa.
Untuk menerimamu kembali, untuk mencari pengganti dirimu buat masa kini, aku rasakan tidak. Aku tidak mahu leka mengejar cinta. Aku takut pada balasan Allah. Aku takut jika aku lalai mengerjakan perintah Allah seperti dahulu. Aku takut aku akan mencintai lelaki itu lebih dari aku mencintai Allah.
Aku takut sangat-sangat. Ketakutan ini aku tidak pernah rasa pada suatu masa dulu.
 Walaupun kamu pernah menyakiti hatiku, pernah membuangku dalam hidupmu, pernah menghancurkan impian-impian bersama, aku tidak pernah lupa untuk mendoakanmu. Aku berdoa agar Allah bukakan pintu hati kau untuk bertaubat dan kembali mengerjakan perintah Allah. Sungguh, tiada dendam sekelumit di hati ini. Cuma aku tidak mahu, orang yang aku pernah sayang, pernah bertakhta di hatiku, menyerahkan dirinya di lembah neraka.
Wassalam,
Warkah wanita yang ingin berubah menjadi solehah.

Tuesday

BUKAN DOA KAMU YANG MAKBUL SBEBENARNYA









BERKONGSI…
Bukan Doa Kamu Yang Makbul Sebenarnya.  
Bercakap fasal doa,
 
saya teringat satu kisah yang sangat-sangat memberikan kesan dalam kehidupan saya. Guru-guru saya di sekolah, semenjak sekolah rendah, sangat menerapkan doa. Jadi, saya sudah dibiasakan dengan Solat Hajat, Solat Dhuha, Qiamullail, waktu-waktu doa yang mustajab seperti ketika hujan dan sebagainya agar saya rajin berdoa, dan agar doa saya makbul. Jadi, bila Allah anugerahkan saya kejayaan, saya sentiasa rasa, itu sebab saya doa dengan bersungguh-sungguh. Namun satu cerita mengubah persepsi saya
.  
Cerita yang saya dengar itu begini:
 
Kisah berkenaan seorang abang dan seorang adik.
 
Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan Allah SWT.
 
Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya raya.
 
Si Adik pula, seorang yang buta huruf. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.
 
Akhirnya, Allah mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengannya. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.
 
Si Abang akhirnya kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa dengan ALLAH, melewat-lewatkan solah, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada ALLAH. Dan ajaibnya, Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia istimewa.
 
Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hannya mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik, juga rajin berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah.

Lantas satu hari, ketika Si Abang menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong:
 
“Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat.”
 
Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna.
 
Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang.
 
Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa.
 
Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.
 
Kertas itu tertulis: “ Ya Allah, makbulkan lah segala doa abang aku”
 
MasyaALLAH…
 
Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat kepada ALLAH dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan ALLAH SWT. Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada ALLAH, malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si Adik.
 
Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul. Tetapi doa adiknya telah diterima oleh ALLAH SWT, lantas segala doanya menjadi makbul.
 
Cerita ini meruntun hati saya, dan buat saya sentiasa berfikir panjang.
 
Kadang-kadang kita, bila Allah realisasikan hajat kita, kita suka mengimbau usaha-usaha kita.
 
"Aku buat beginilah yang jadi begini."
 
"Doa aku makbul seh!"
 
"Aku ni memang Allah sayang. Tengok, semua benda Allah bagi. Aku minta je pun
."  
Tanpa sedar kita bongkak. Takabbur.
 
Sedangkan, kita tak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa kita.
 
Cerita itu sangat menyentuh hati saya.
 
Membuatkan setiap kali saya berdoa, saya tidak lupa mendoakan ibu bapa saya, guru-guru saya, keluarga saya, adik beradik saya, sahabat-sahabat karib saya, yang teramat akrab saya sebutkan namanya agar lebih merasai bahawa saya memerlukan mereka mendoakan saya juga.Kita ini banyak dosa. Banyak hijab.
 
Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya yang makbul, menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Sebab itu jangan berlagak. Jangan tinggi diri. Jangan rasa doa kitalah yang makbul. Pulangkan semuanya kepada Allah. Doa itu sebahagian daripada usaha sahaja sebenarnya.
 
Dan jangan rasa segan nak minta orang lain doakan kita.
 
Semoga bermanfaat note ini.
 
Sebarkan jika anda rasa ada manfaatnya.
 
Semoga Allah redha dengan kita.
 
AMIN….
Sarie
 

--

Yusli Yaakob

RMIT Bundoora East
Melbourne