Tuesday

MAAFKAN MEREKA

Tentunya dalam kehidupan kita ini begitu banyak individu yang sering menyakitkan hati kita, mengguris dan melukakan perasaan kita bahkan menjadikan jiwa kita berserabut dan penuh kebencian. Seringkali senyuman kita kehilangan serinya, tawa kita menjadi sumbing dan air muka kita kehilangan cahayanya setiapkali kita bertembung wajah dengan mereka. 

Bahkan ada yang begitu dengki dan sengaja menyakitkan hati kita malahan sering mereka-reka fitnah dan onar untuk mencacatkan kewibawaan kita.
Ya, inilah sebahagian dari warna warni hidup kita yang menjadikan perjalanan hidup kita lebih unik dan jiwa kita akan menjadi lebih matang jika kita mampu menyikapinya dengan betul.

Apa perasaan kita berdepan dengan golongan ini, walaupun bilangannya mungkin tidak begitu ramai? Apa pula perasaan kita jika yang sering menyakitkan hati kita itu ialah orang-orang yang begitu hampir dengan kita?
Bagi saya, tidak ada yang lebih baik selain memberi KEMAAFAN. Ya, MAAFKAN MEREKA agar jiwa kita lebih lapang dan bahagia. MAAFKAN MEREKA sehingga kebencian tidak lagi mampu mencemarkan keindahan budi atau merubah rupa jiwa kita. MAAFKAN MEREKA agar kita mampu tersenyum melihat kehidupan.
Adakah kita merasakan kebencian kita itu menguntungkan kita atau akan merugikan mereka? 

Apa yang kita dapat dari kebencian itu kalau bukan keserabutan jiwa, kemarahan yang meluap-luap dan terusirnya ketenangan dan kedamaian dari hati nurani kita? 

Bahkan setiapkali kebencian mula bertahkta dan menguasai hati maka hati kita itu akan makin keras, gersang, kasar dan merosak air muka kita. 

Hingga akhirnya dunia yang begitu luas terasa begitu sempit, hidangan yang lazat hilang kenikmatannya dan tidur kita tidak lagi merehatkan jiwa kita untuk mendepani hari baru. Jadi, nyatakan pada saya, apa untungnya kebencian dan kemarahan kita itu kalau bukan menambahkan penderitaan keatas penderitaan yang sudah sedia ada?
Jadi, MAAFKAN MEREKA kerana dalam kemaafan kita itu Allah SWT menjanjikan keampunan. Bukankah dosa-dosa kita masih terlalu banyak sedangkan kematian sering mengintai kita disetiap simpang siur kehidupan. Bagi jiwa-jiwa yang menyakini hari pertemuan dengan Allah SWT tentunya kita benar-benar rindukan pengampunan Allah SWT bahkan pengampunan itu lebih berharga dari pertambahan usia. Apalah gunanya bagi umur yang bertambah tetapi dosanya tidak berkurang. Apa yang kita harapkan dari kehidupan begini?
MAAFKAN MEREKA kerana kita juga sering membuat kesalahan dan setiapkali kita membuat kesalahan, kita begitu rindu dan mengharapkan orang lain menyikapi atau menghadapi kelakuan buruk kita dengan baik bahkan menasihati kita dengan penuh hikmah. Kenapa apabila orang lain melakukan kesalahan kepada kita, kita lalu marah-marah dan pamerkan wajah yang buruk dan penuh kebencian.
MAAFKAN MEREKA, agar jiwa kita menjadi lembut bahkan membuahkan kesabaran dan kepasrahan hingga kita mampu mengukirkan kesenyuman dari relung hati kita yang paling dalam. Biarkan kemaafan itu menghiasi jiwa kita dengan bunga-bunga kecintaan dan kasih sayang hingga mereka tertunduk hormat dan malu kepada kita.

Kata Ibnu Qayyim; Jika kamu ingin menyuruh yang ma’ruf pastikan ia menjadi ma’ruf. Ya, jika kita inginkan kebaikan, biarlah tindakan dan cara kita menghasilkan sesuatu yang baik atau lebih baik. Maknanya, setiap tindakan kita perlu disesuaikan dengan niat, cara dan masa yang baik. Kalaupun usaha kita tidak berjaya, yakinlah Allah menjanjikan ganjaran diatas usaha dan kesabaran kita.

Maafkan mereka
agar jiwamu petah berbicara
mengajar insan erti bahagia
dan tersenyum dalam duka
Maafkan mereka
Agar hatimu lapang segala
Menikmati hari-hari baru
yang penuh duka lara
Maafkan mereka
Kerana jiwamu sedar mengerti
Hidup ini ada hari datang dan pergi

Sumber: http://www.langitilahi.com/

10 LELAKI WAJIB DI JAUHI

1. Lelaki yang sering mengucapkan kata sayang tetapi tidak mahu atau tidak bersedia untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius walaupun anda sudah mengenalinya bertahun-tahun lamanya. Ini bermakna bahawa anda bukan orang yang diinginkannya. Mungkin anda juga tiada dalam kamus hidupnya.

2. Lelaki yang sentiasa menghubungi anda tanpa mengira waktu. Selalunya lelaki jenis ini akan mengeluarkan kata-kata manis apabila dia sangat memerlukan anda. Tetapi apabila anda memerlukannya dia langsung tidak muncul atau memberi banyak alasan untuk mengelak.

3. Lelaki yang selalu mengajak anda keluar hanya sebagai teman tetapi mesra. Ke mana saja hanya anda berdua. Ibarat merpati dua sejoli pada pandangan orang lain. Malangnya, dalam hati lelaki itu tidak terdetik langsung untuk mengisi anda dalam ruang hatinya yang kosong itu. Jangan buang masa anda dengan lelaki seperti ini.

4. Lelaki yang sudah mempunyai kekasih hati tetapi tetap mahukan anda. Selalunya lelaki jenis ini mempunyai ramai teman wanita dan hanya mahu memenuhi nafsunya.

5. Lelaki yang hanya memandang dirinya saja yang betul. Pandangan dan apa yang dibuat anda adalah salah. Selalunya ketika menjalinkan hubungan dengan lelaki jenis ini anda sering dimarahi atau ditengking kononnya anda saja yang bersalah dalam sesuatu hal. kadang kala hal yang kecil juga diperbesarkan.

6. Lelaki yang naif dan mementingkan diri sendiri. Selalunya lelaki jenis ini tidak akan faham kehendak wanita. Walaupun anda sudah berterus terang mengenai sesuatu, dia tetap tidak mengendahkannya. Lelaki jenis ini sering menganggap semua perkara adalah remeh dan selalu mengambil mudah sesuatu perkara.  

7. Lelaki yang tidak tahu kehendak dirinya sendiri. Jika lelaki jenis ini tidak mengetahui apa kehendak dirinya sendiri, cuba anda bayangkan bagaimana dia hendak memahami masalah anda jika hidup bersamanya nanti.

8. Lelaki yang tetap akan mengganggu anda. Walaupun sudah diberitahu yang anda terlalu sibuk, lelaki ini tidak mempedulikannya. Lelaki jenis ini selalunya hanya ingin berkepit siang dan malam.

9. Lelaki yang suka memburukkan lelaki lain dengan harapan anda akan menjauhi lelaki yang diburukkannya itu. Lelaki jenis ini selalunya kuat cemburu dan akan cuba sedaya upayanya supaya anda tidak akan berhubung dengan lelaki lain. Relakah anda dikongkong oleh lelaki jenis ini?

10. Lelaki yang tidak dapat memberikan layanan yang betul kepada wanita. Anda tidak nampak ciri kepemimpinan pada lelaki jenis ini. Bagaimana anda mahu sandarkan segala harapan pada lelaki seperti ini nanti?